| "Hadirlah ke mesyuarat PIBG dan berilah sumbangan bernas!" Seru YB Dato' Haji Mohd Ali |
|
"Hadirlah ke Mesyuarat PIBG dan berilah pandangan bernas, dari segi sumbangan janganlah berkira sangat, semuanya itu adalah untuk anak-anak kita jua!" Begitulah seruan dari YB Dato' Haji Ali bin Hassan melalui Wakil Rasminya Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammad bin Dolmad, Mantan Wakil Rakyat kawasan Tiram merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Tebrau. 7hb Mac Ulu Tebrau, Ketika berucap di dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 29 tetamu kehormat itu menyatakan bahawa pihak sekolah berusaha sedaya upaya dan tibalah kita sebagai ibubapa untuk memerhatikan anak-anak kita. Kadang-kadang kita gagal dalam mendidik anak-anak yang jumlahnya hanya beberapa orang, apatah lagi lah para guru yang cuma 45 orang untuk menangani seramai 700 lebih murid. Masa mereka dengan murid cuma 5 jam berbanding dengan masa yang lebih panjang semasa berada di rumah. Jika kita dijemput datang ke sekolah sekali sekala untuk berbincangan dengan para guru mengenai anak kita maka kita haruslah datang dan mengambil berat. "Kita amat sedih apabila kita baca melalui media massa, apabila melihat ada dari kalangan anak-anak yang menderhaka kepada ibubapa mereka, tentulah ada sesuatu yang tidak kena dan mungkin disebabkan oleh kegagalan kita di dalam mendidik anak-anak" Sambung beliau. Menurut beliau, nyanyian lagu nasyid yang dikumandangkan di dalam acara pembukaan sungguh bermakna. "Kita diperlihatkan bagaimana kasihnya anak terhadap ibubapa. Persoalan timbul selama mana kasih mereka akan kekal jika kita gagal bertanggung-jawab sebagai ibubapa?" Tanya beliau. Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada jurulatih kumpulan nasyid berkenaan. Oleh itu jika dijemput untuk hadir ke mesyuarat PIBG atau pada Hari Terbuka, hadirlah dan berbincanglah dengan guru mengenai keperluan pendidikan anak-anak kita untuk cuma sekali setahun. Tuan Haji Muhammad menyeru agar warga PIBG terus memberi sumbangan walau pun Kerajaan telah pun menyalurkan peruntukan RM8 bagi setiap murid bagi sekolah rendah. Mesyuarat Agung PIBG kali ini meluluskan kutipan sumbangan RM25 bagi tabungan PIBG dan RM29.00 bagi pihak sekolah melalui PIBG. Sumbangan RM25 adalah bayaran untuk sekeluarga. Majlis gilang gemilang itu dimulakan dengan perarakan kompang (Tempat ketiga Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Zon Tiram), bunga manggar dan bunga paha oleh murid sekolah ini. Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammad kemudiannya menerima tabik hormat dari Pasukan Pengakap SKFUT (Naib Johan Pertandingan Perbarisan Peringkat Daerah Pasir Gudang 2008) di atas pentas khas dan diarak menuju ke dewan perasmian diringi dengan irama gamelan. Seramai 8 orang murid menerima anugerah khas berupa wang tunai berjumlah RM200 tiap seorang kerana kejayaan mereka mendapat 5A dalam UPSR 2008. Seramai 10 orang yang mendapat 4A 1B pula menerima anugerah bernilai RM50. Pada majlis berkenaan ramai murid yang berjaya di dalam bidang kurikulum dan kokurikulum telah diberi anugerah. Anugerah Tokoh Murid Lelaki 2008, Tokoh Murid Perempuan 2008 dan Tokoh Kurikulum 2008 telah disampaikan. Semua warga sekolah berasa gembira kerana permohonan untuk membina 4 pondok sukan yang bernilai RM10,000 telah diluluskan pada majlis itu. Tuan Hj Muhammad juga telah berjanji untuk membawa kepengetahuan YB Dato Haji Ali dan seterusnya kepada YB Menteri Besar Johor tentang permohonan PIBG untuk menjadikan gelanggang futsal sebagai dewan terbuka dan memohon mempercepatkan projek bangunan baru sekolah. Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG dan Anugerah Kecemerlangan 2008 telah diserikan dengan pelancaran Portal Rasmi SK (Felda) Ulu Tebrau dan Pelancaran Program Memasyarakatkan Sekolah melalui Pusat Sumber yang disempunakan oleh tetamu kehormat itu. |